Ada 2 cara nak beli kereta untuk pemilik bisnes enterprise. Hari ini saya nak kongsi cara bagaimana nak beli kereta dengan cara ambil gaji dari bisnes.
Buat Slip Gaji
Langkah pertama yang anda kena buat ialah kena ada slip gaji. Dalam slip gaji itu, kita nyatakan berapa gaji yang kita ambil. Kalau nak beli Myvi gaji sekurang-kurangnya mestilah RM1,800. Kita juga perlu letakkan berapa caruman KWSP.
Carum KWSP
Buat caruman KWSP sama seperti pekerja. Maksudnya ada syer majikan dan ada syer pekerja. Kalau gaji RM 1,800 maksudnya gaji bersih sekitar RM1,602. KWSP ini penting sebab inilah bukti yang bahawa kita benar-benar bekerja dalam bisnes kita sendiri.
Ambil Gaji
Kalau dah buat slip gaji, dah carum KWSP maksudnya kita memang kena betul-betul ambil gaji. Gaji itu kita masukkan dalam bank akaun simpanan kita.
Jika tidak mampu bayar gaji kita dengan penuh ini bermaksud bisnes kita berhutang gaji dengan kita.
Buka Akaun ASB dan Buat ASB Loan
Kalau kita tidak pernah buat pinjaman kita mesti ada rekod pinjaman. Kita buat pinjaman ASB dulu untuk bina profil pinjaman. Kita buat bayaran tepat pada masanya. Jadi akan datang bank sudah percaya dengan kita. Ambil sahaja ASB Financing RM50,000.
Declare Cukai
Bila kita ambil gaji RM1,800 sebulan maksudnya setahun gaji kita itu berjumlah RM 21,600. Jumlah gaji itu kita letak dibahagian pendapatan berkanun penggajian. Jadi ini membuktikan bahawa kita benar-benar ambil gaji dari bisnes kita.
Sediakan semua dokumen seperti penyata bank 6 bulan, slip gaji 6 bulan dan penyata KWSP dan anda sudah boleh beli kereta MYVI atau apa sahaja kereta yang anda mahu.
Tapi tolonglah ukur baju badan sendiri. Jangan beli kerana trend. Ramai juga melingkup sebab tak mampu bayar ansuran kereta.
Semua ini memerlukan pengurusan dokumen kewangan bisnes yang teratur.